Aaron dan Rita tiada masalah

aaron
Benarkah Aaron Aziz dilarang berlakon dengan Rita Rudaini? Itulah khabar yang bertiup kencang dan semakin menjadi perbualan di kalangan media.

Berdasarkan gosip yang tersebar, larangan itu kononnya dikeluarkan pengurus pelakon terbabit yang juga isterinya, Diyana Halik, atas alasan cemburu.
Pada awalnya, cerita itu hanyalah dianggap cerita yang sengaja diada-adakan pihak tidak bertanggungjawab. Namun semakin didiamkan, semakin hangat cerita itu diperkatakan seolah-olah ia benar-benar berlaku. Apatah lagi sejak kebelakangan ini, tiada sebarang drama atau telefilem yang menggandingkan dua pelakon terbabit.

Bertemu Aaron ketika dia menghadiri sidang media Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012, kelmarin, memberi peluang kepada HIP bertanyakan kesahihan gosip berkenaan. Sambil mengucap panjang, Bintang Paling Popular ABPBH 2011 ini menafikan sekeras-kerasnya cerita itu.

Sepanjang bergelar pelakon, belum pernah saya meletakkan sebarang syarat untuk tidak berlakon dengan orang itu atau orang ini, termasuk Rita. Ini semua gosip bodoh dan tidak benar sama sekali. Lagipun sebagai ketua keluarga, keputusan akhir tetap di tangan saya, walaupun dia menguruskan kerjaya seni saya.

Kasihan Diyana apabila dituduh mengeluarkan syarat sebegitu. Tak pasal-pasal dia terbabit dalam kontroversi ini. Saya tak pernah ada masalah untuk berlakon dengan sesiapapun, termasuk Rita, tegasnya.

Ditanya bagaimana virus gosip ini boleh menjangkiti dirinya, Aaron menyatakan, ia berpunca daripada kenyataan yang pernah dikeluarkannya sebelum ini.
Mungkin perkara ini timbul sewaktu saya mahu membintangi drama Adam dan Hawa. Pihak penerbit ada bertanya, dengan siapa saya mahu digandingkan dalam drama ini? Pada waktu itu, mereka juga ada mencadangkan beberapa nama termasuk nama Rita.

Memandangkan saya pernah berlakon dengan Rita dalam drama bersiri Rahsia Hati, dua tahun lalu, jadi kalau boleh biarlah dalam drama ini saya bekerja dengan aktres lain pula. Kebetulan saya belum pernah berlakon dengan Nadiya Nissa. Saya juga mengagumi bakatnya, jadi saya bersetuju digandingkan dengannya, dedah Aaron.

Sebagai pelakon yang mengutamakan kualiti dan tidak mahu peminat jemu, Aaron berkata, formula yang diguna pakai olehnya adalah dengan sentiasa menyuntik pembaharuan serta bergandingan dengan pelakon wanita berbeza setiap kali muncul bersama produk terbaru.

Sekarang saya memang teringin untuk bekerjasama dengan Fasha Sandha. Sepatutnya kami berlakon bersama dalam sebuah drama, tetapi tak jadi sebab saya terbabit dengan projek lain. Kalau boleh, memang saya mahu bekerjasama dengan ramai pelakon wanita lain. Dapat juga pengalaman serta ilmu baru daripada mereka, ujarnya.

Mengenai desas-desus kononnya Aaron bakal terbabit dalam teater Ombak Rindu, yang khabarnya bakal dipentaskan di Istana Budaya tahun depan, bapa kepada tiga cahaya mata ini berkata, dia tidak tahu menahu mengenai hal itu.

Inilah kali pertama saya mendengar cerita ini. Setakat ini tiada sebarang tawaran yang diberikan dan isteri saya pun tidak memaklumkan pada saya mengenai tawaran itu, jika ada. Terus terang, selepas Badai Semalam, saya memang tidak berminat langsung untuk berlakon teater.

Cukuplah dua teater saja iaitu Natrah dan Badai Semalam. Saya buat pun kerana kak Erma Fatima dan Ketua Pengarah Istana Budaya (IB), Datuk Mohamed Juhari Shaarani atau Abang Jo. Saya tak suka buat perkara sama setiap hari. Iyalah, kalau teater itu berlangsung selama sepuluh hari, selama itulah juga saya kena berlakon. Hujung minggu pula sampai dua kali persembahan sehari, tegasnya.

Kata Aaron, jika betul teater itu mahu dipentaskan, dia tidak kisah watak Haris digantikan dengan pelakon lain.

Kita ada ramai pelakon hebat lain dan mampu membawakan watak itu. Mungkin mereka boleh menggantikan tempat saya, katanya.

Kelmarin ruangan Dengarnya… ada menyiarkan cerita ura-ura teater Ombak Rindu akan dipentaskan di IB. Kononnya, proses penerbitan teater itu akan dilakukan selepas mendapat lampu hijau daripada Aaron dan penerbit novel. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *