
KERAYONG – Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukanlah gula-gula politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penerimaan sebanyak RM500 itu di sifatkan sebagai pemberian ikhlas daripada kerajaan kepada rakyat bagi membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Menurutnya, sumbangan itu juga diberikan pada semua rakyat yang berkelayakan tanpa mengira bangsa, agama mahupun ideologi politik.
“Jika kerajaan memilih orang tertentu sebagai penerima, sudah pasti rakyat yang tinggal di negeri yang di bawah pemerintahan pembangkang tidak akan merasa sumbangan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi Fasa Ke-2, di Kompleks Rakan Muda, dekat sini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemayan, Mohd Fadil Osman dan Adun Guai, Norol Azali Sulaiman.
Ismail Sabri berkata, segelintir pihak gemar mempolitikkan usaha kerajaan untuk membantu rakyat kerana bimbang apabila kerajaan BN semakin disenangi rakyat.
Katanya, pihak tersebut sering melabelkan BR1M sebagai gula-gula politik atau rasuah untuk memenangi hati rakyat sedangkan perkara itu tidak benar sama sekali.
Menurutnya, selain BR1M, pelbagai bantuan yang terus diberikan kepada rakyat seperti bantuan kebajikan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk tindakan kerajaan menanggung harga subsidi bagi beberapa produk.
“Jika betul mereka menggelar itu sebagai rasuah, mereka boleh menolak atau tidak memohon BR1M ini. Tetapi, siapa yang akan menolak jika ia boleh membantu mengurangkan bebanan.
“Itu pun masih ramai yang mengecam kerajaan zalim dan sering menindas rakyat. Saya percaya, rakyat boleh berfikir keadaan ini dan tidak perlu mempercayai fitnah seumpama ini sebelum menelitinya,” katanya.
Sumber: Sinar Harian untuk Portal Berita Terkini




