DRB-Hicom umum pengurusan baru Proton tidak lama lagi

protonSHAH ALAM – DRB-Hicom Bhd akan mengumumkan pasukan pengurusan baru Proton Holdings Bhd, pengeluar kereta nasional, dalam masa dua minggu lagi, kata Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Seri Mohd Khamil Jamil hari
ini.

“Akan terdapat penambahbaikan kepada pengurusan. Mungkin terdapat muka baru, saya tidak menolak kemungkinan itu dan mungkin orang lama.

“Sentiasa terdapat campuran yang lama dan baru (muka) untuk kesinambungan serta bagi menyediakan idea dan bakat baru,” kata beliau kepada pemberita selepas mesyuarat agung luar biasa DRB-Hicom bagi mendapatkan kelulusan pemegang saham bagi 42.74 peratus pembelian pegangan dalam Proton Holdings Bhd.

Mohd Khamil berkata DRB-Hicom mempunyai beberapa proses seperti jawatankuasa pencalonan dan jawatankuasa ganjaran bagi pelantikan ini.

“Pada masa ini, saya masih belum mengemukakan kepada Lembaga Pengarah DRB-Hicom calon-calon yang akan atau mungkin menerajui atau membantu dalam menerajui Proton. Saya menunggu EGM ini selesai.”

“Saya tidak pasti sama ada pemegang saham akan meluluskan resolusi (bagi pemerolehan pegangan Proton). Sekarang ini, setelah pemegang saham bersetuju dengan rancangan kami dan mereka meluluskan pemerolehan Proton, saya telah mempunyai idea siapa yang akan ke sana.

“Saya perlu melihat kepada kepakaran, kebolehan dan bidang yang kumpulan atau individu yang akan ke sana.”

“Saya masih belum ke jawatankuasa pencalonan, jawatankuasa ganjaran dan seterusnya kepada lembaga untuk kelulusan.

“Saya tidak boleh membuat sesuatu dengan tidak mengikut aturan, jika saya berbuat demikian, pengerusi saya tidak akan gembira dengannya. Saya perlu memaklumkan beliau dahulu sebelum saya mengumumkan kepada orang ramai,” kata Mohd Khamil.

Pengerusi DRB-Hicom Datuk Syed Mohamad Syed Murtaza berkata syarikat dalam proses meninjau mereka yang layak menguruskan Proton Holdings.

“Kami akan membuat pengumman selepas pertimbangan teliti. Kami akan memaklumkan pada masa yang sesuai,” kata beliau. Syed Mohamad berkata syarikat memperoleh kelulusan hari ini bagi pemerolehan 42.74 peratus pegangan dalam Proton daripada Khazanah Nasional Bhd, cabang pelaburan kerajaan, dengan 99 peratus pemegang saham mengundi resolusi itu. Syed Mohamad, yang mewakili satu proksi, mengundi menolak resolusi. “Terdapat satu proksi yang dihantar kepada saya. Proksi berkenaan mewakili 1,000 saham, mengundi menolak resolusi,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *