Nicol Juara Kejohanan Skuasy Cleveland Classic

Pemain Skuasy no.1 Dunia

Nicol Ann David

KUALA LUMPUR – Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David memastikan aib 2011 tidak berulang pada kejohanan skuasy Cleveland Classic apabila dia menumpaskan Laura Massaro dari England, 7-11, 12-10, 11-7, 11-8 untuk merangkul gelaran sulung di Ohio, Amerika Syarikat semalam.

Bertempat di Kelab Raket The Cleveland, perlawanan akhir ulangan tahun lalu itu berlangsung sengit seperti yang dijangka, menyaksikan ia berlanjutan sehingga 57 minit sebelum kemenangan akhirnya memihak Nicol.

“Satu perlawanan besar berjaya saya lepasi dengan menewaskan Laura 3-1 di Cleveland.

“Saya dipaksa berhempas pulas sebelum menang, namun itulah yang memberikan kepuasan tidak terhingga untuk saya memenangi gelaran ini,” katanya dalam Twitter.

Bagaimanapun, pemain yang bermula lebih garang adalah Massaro dengan pemain No.3 dunia itu terus selesa mendahului 6-0.

Nicol bangkit mengejar sehingga 4-8, namun tidak cukup untuk menghalang lawan yang menumbangkannya dua kali pada 2011, melengkapkan kemenangan set pembukaan dengan 11-7.

Set kedua bersambung dengan kedua-dua pemain terus mempamerkan aksi bertenaga.

Tiba giliran Nicol untuk bermula penuh yakin dengan mendahului 3-0, namun dua kesilapan yang dilakukan memberi ruang buat Massaro untuk kembali di depan pada 4-3 sebelum kemudiannya terikat 9-9.

Pada kedudukan cemas itu, apa yang berlaku selepas itu boleh dikatakan detik paling menghiburkan dengan Massaro mengubah permainan kepada corak menyerang dan memaksa Nicol bergerak ke setiap sudut gelanggang untuk membalasnya.

Dalam menahan asakan itu, Nicol menunjukkan kepada Massaro mengapa dirinya layak dianggap sebagai antara pemain terulung sepanjang zaman dan disenarai dalam Dewan Kemasyuran Skuasy Dunia, apabila beberapa kali berjaya melakukan pukulan balas yang hampir mustahil untuk disambut.

Nicol mengungguli set kedua itu dan dua set berikutnya tidak lagi menjadi masalah buat pemain No.1 dunia itu.

Menang 11-7 set ketiga, Nicol mengatur strategi memaksa Massaro bermain di depan gelanggang dan ia terbukti berkesan untuk Nicol selangkah menghampir kejuaraan pada kedudukan 7-1.

Massaro yang masih memiliki sedikit sisa perjuangan cuba bangkit mengejar sehingga 7-9, namun ia disekat Nicol untuk memastikan dendam tahun lalu di venue yang sama terbalas dengan kemenangan 11-8.

Sumber: Utusan untuk Portal Berita Sukan

Lagi Berita Menarik




About Muhammad Faiz

Menulis Untuk Kepuasan Pembaca. 'Menembak' Untuk Kepuasan Diri. Pemilik blog semi-personal Tuudia! - Hidup Ku Hidup Semua dan photoblog LensaFaiz.

Speak Your Mind

*

Comment With Facebook