Protes campur tangan Israel

protes
JOHOR BHARU – Kira-kira 300 ahli Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) berhimpun di hadapan Plaza Seni, di sini semalam sebagai tanda protes terhadap sebarang campur tangan Israel ke negara ini.

Presidennya, Abdul Rahman Mahadi berkata, perhimpunan aman itu bertujuan menggesa kerajaan menghentikan serta-merta sebarang hubungan perdagangan yang dijalankan di antara Malaysia dan negara Israel.

“Kami berharap perhimpunan ini mendapat perhatian kerajaan agar sebarang bentuk hubungan dengan negara Israel dihentikan.

“Kita tidak mahu terhutang budi kepada Israel dan menyebabkan negara ini tergadai seperti yang berlaku di kebanyakan negara-negara Islam,” katanya.

Abdul Rahman berkata, pada masa yang sama PPPMM turut menggesa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar bersikap rasional dan tidak membawa masuk dana dari mana-mana agensi Israel ke negara ini.

“Terdapat banyak pendedahan mengenai tindakan Anwar yang dilihat pernah memohon bantuan Israel untuk mendapatkan dana.

“PPPMM tidak setuju dengan tindakan ini dan minta Anwar bersikap ‘gentleman’ untuk bertanding tanpa bergantung atau membawa elemen-elemen dari luar,” katanya.

Selain itu katanya, PPPMM turut berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas berhubung isu yang dibangkitkan dan menjalankan siasatan untuk menyekat pengaruh Israel ke Malaysia.

“Kami berharap agar tindakan tegas diambil kerana perkara ini sudah terlambat dan sepatutnya dikekang sejak dari dulu lagi.

“PPPMM mahu siasatan dijalankan berhubung pendedahan bekas Setiausaha Sulit Anwar, Rahimi Osman yang mendakwa anak syarikat milik Anwar meminta sokongan Yahudi” katanya.

Dalam pada itu katanya, susulan perhimpunan itu, beliau bersama sepuluh ahli PPPMM turut membuat laporan polis berhubung ketidakpuasan hati mereka terhadap campur tangan Israel di negara ini dan mahu siasatan dijalankan. – Sinar Harian

Pin It

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>