KUANTAN – Dua peniaga ditahan bersama beberapa buah komputer riba dan sebuah pemacu cakera keras yang mengandungi klip video lucah di sebuah premis telefon bimbit di sebuah pusat membeli belah di sini, semalam.
Ketua Cawangan Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan, Kementerian Dalam Negeri cawangan Pahang, Mohd Naim Hashim berkata pihaknya bersama anggota polis telah melakukan pemeriksaan di beberapa premis dalam pusat membeli belah berkenaan pada 3.15 petang semalam.
Katanya hasil pemeriksaan tersebut mendapati tiga daripada premis yang diperiksa, menawarkan perkhidmatan memuat turun klip video lucah ke dalam telefon bimbit pelanggan.
“Hasil pemeriksaan itu beberapa komputer riba dan sebuah pemacu cakera keras yang mengandungi lebih 1,300 klip video lucah dirampas,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sehubungan itu katanya seorang pemuda dan seorang wanita berusia lingkungan 20-an turut ditahan kerana dipercayai menawarkan perkhidmatan itu kepada pelanggannya.
“Dua peniaga terbabit dipercayai menawarkan klip video lucah untuk dimuat turun secara pakej apabila pelanggan membeli atau membaiki telefon bimbit di premis mereka,” katanya.
Mohd Naim berkata bagi mendapatkan pakej berkenaan, pelanggan perlu membayar lebih untuk memuat turun klip video berkenaan bergantung kepada keupayaan memori sesebuah telefon bimbit.
Menurutnya klip video lucah terbabit dipercayai diperolehi oleh peniaga tersebut daripada orang perseorangan yang merakam aksi panas itu atau internet sebelum dikumpulkan menjadi satu koleksi besar untuk dijual.
Beliau berkata adalah menjadi satu kesalahan untuk memuat turun dan menyimpan klip video lucah dan mereka yang terlibat boleh didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Penapisan Filem 2002 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjara lima tahun. – Bernama




